Bebas bersuara di ruang maya
Berita Harian, 3 June 2006
 
 
SEBEBAS manakah ruang maya menjadi medan politik bakal ditentukan dalam tempoh
lima tahun lagi. Demikianlah penilaian Menteri Penerangan, Perhubungan dan
Kesenian, Dr Lee Boon Yang, selepas pilihan raya umum baru-baru ini. Dr Lee
turut menyatakan terhibur oleh beberapa podcast (siaran di Internet yang
lazimnya percuma) yang muncul dan mengusik suasana pilihan raya. Apakah ini
bermakna peraturan ketat yang dikeluarkan pemerintah sejurus sebelum pilihan
raya telah menghindari warga kita daripada menikmati lebih banyak unsur politik
kreatif? Soalan ini memang berat.
 
   Medan Internet dijangka menjadi lebih menarik dalam jangka panjang. Kini
saja syarikat telefon biasa mengeluh kerana perhubungan menerusi Internet
didapati jauh lebih murah. Akan datang mungkin siaran televisyen akan berubah
menjadi siaran Internet dengan pilihan yang lebih luas melangkaui sempadan
negara. Internet merupakan antara ciri zaman penyejagatan atau globalisasi.
Namun tidak bermakna sempadan atau batas sudah tiada lagi. Pada masa yang sama,
manusia akan lebih kreatif mencorak ruang maya dalam bentuk yang lebih canggih
seakan-akan suatu realiti baru. Oleh itu, setiap negara perlu berhati-hati
menghadapi realiti yang ada kalanya hanya menyebarkan dusta, fitnah dan faham
pengganas di Internet. Sekadar contoh, Singapura bertindak tegas terhadap apa
jua laman Internet yang sengaja mencetus isu kaum dan agama. Tindakan mahkamah
terhadap pengendali laman yang menghina masyarakat Melayu/Islam baru-baru ini
harus menjadikan setiap orang jera dan menyedari bahawa hubungan baik kaum dan
agama tidak boleh dipersenda apatah lagi dihinakan.
 
   Oleh itu, apa jua batas mengenai ruang siber, kita perlu mengenali
aspek-aspek yang boleh menjejas perpaduan negara ini. Wajar juga soal ini
diserahkan kepada para karyawan atau aktivis laman Internet agar mereka
menyedari apa yang harus dan tidak harus dilakukan. Saranan mereka boleh
dinilai oleh pemerintah untuk dijadikan peraturan bagi ruang siber. Sebenarnya
batas boleh atau tidak amat bergantung kepada kematangan sesebuah masyarakat.
Namun di Barat sekalipun, sebahagian besar penduduknya masih lagi peka terhadap
isu-isu di ruang siber yang dianggap tidak sihat dan perlu dikendalikan dengan
teratur. Dengan rancangan nasional untuk meluaskan khidmat jalur lebar, kita
perlu waspada dalam merancakkan langkah di alam maya ini.