Cara urus media baru akan disemak
Usaha pemerintah demi pendekatan lebih lembut menjelang pilihan raya akan
datang
Berita Harian, 1 June 2006
 
 
PEMERINTAH akan menyemak cara ia mengurus media baru, seperti Internet dan
podcast, agar ia dapat mengamalkan pendekatan lebih lembut dalam mengawal media
sedemikian menjelang pilihan raya umum akan datang.
 
   Namun dalam menyatakan ini, Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Dr
Lee Boon Yang, menekankan pemerintah tidak salah dalam mengamalkan pendekatan
berhati-hati bagi mengawal blog dan podcast semasa pilihan raya lalu.
 
   Ini kerana ada pihak menggunakan kaedah itu untuk menyebarkan maklumat palsu
demi mengajukan agenda masing-masing, kata beliau semasa berucap di Persidangan
Akademi Perhubungan Awam kelima di Hotel Grand Copthorne Waterfront, semalam.
 
   Dr Lee memberi contoh selepas Encik Zaqy Mohamad diumumkan sebagai calon
baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), ada kenyataan di Internet yang mendakwa
beliau dipilih kerana merupakan anak saudara Speaker Parlimen, Encik Abdullah
Tarmugi.
 
   Kenyataan itu tidak benar kerana Encik Zaqy dipilih berdasarkan merit dan
kebolehannya, kata Dr Lee.
 
   Dalam ucapannya, Dr Lee menyentuh tentang sekitaran media baru dan pandangan
serta pemerhatian pemerintah terhadap perkembangannya, termasuk dalam pilihan
raya lalu.
 
   Beliau berkata pemerintah tidak menolak perubahan yang berlaku dalam
teknologi media itu kerana ia mempunyai potensi untuk memberi banyak manfaat
kepada pengguna.
 
   Bahkan, pemerintah menggalak ia terus berkembang dengan melaksanakan Pelan
Induk Negara Bijak 2015.
 
   Namun, menerusi media itu juga berita angin yang boleh menyebabkan salah
faham boleh tersebar.
 
   Dalam hal ini, pemerintah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan
jika terdapat individu yang sengaja cuba mewujudkan ketegangan dan salah faham
dalam masyarakat.
 
   Menyentuh mengenai perkembangan dalam teknologi Internet, beliau berkata
pemerintah menerima perkembangan itu dan oleh itu, dasar-dasar pemerintah juga
harus berkembang.
 
   'Kita akan menyemak dasar-dasar kita berkaitan Internet dan media baru
semasa tempoh pilihan raya dengan mengambil kira perubahan yang telah berlaku,'
kata Dr Lee.